KOTA DARULNAIM, 14 Februari - Program-program inovasi anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dapat memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan penjawat awam, sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan awam kepada golongan sasar.
Setiausaha Kerajaan, YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad berkata, pembudayaan inovasi dalam kalangan penjawat awam merupakan perkara yang penting agar perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan berada pada tahap terbaik.
"Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa memikir dan melakukan pembaharuan terutama dalam cara kita bekerja, agar perkhidmatan yang kita berikan lebih efisien, menjimatkan kos serta sampai terus kepada golongan sasar," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan 2023, di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.
Tambah beliau, penjawat awam perlu menggandakan lagi usaha untuk mencipta idea-idea baharu dalam sistem penyampaian perkhidmatan agar selari dengan arus globalisasi yang semakin berkembang pesat sekarang ini.
"Saya menyeru semua penjawat awam di semua peringkat untuk menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai amalan dalam gerak kerja seharian.
"Saya juga berharap semua anggota perkhidmatan tidak jemu untuk mencari idea-idea baharu yang menjadi asas kepada penjawat awam bagi mempertingkatkan lagi kualiti kerja agar perkhidmatan yang diberikan kepada golongan sasar menjadi lebih baik."
Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian, Dato' Rosnazli Amin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ab. Patah Hasbullah dan Timbalan Pegawai Kewangan, Shahrin Abdullah.