KOTA BHARU - Sempena sambutan Minggu Al-Quds Sedunia bermula esok, 25 Februari hingga 5 Mac 2022, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersinergi dengan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin) menganjurkan Majlis Perasmian Laman Cakna Palestin di Jalan Dato’ Pati, hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Dalam ucapan perasmian, Dato' Ahmad mengimbau peristiwa Nakbah Palestin pada Mei 1948.
"Umat Islam di seluruh dunia terpanggil untuk membela Palestin. Laman ini adalah isyarat kita di Kelantan merasai apa yang sahabat kita di Palestin lalui. Perkara penting bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan umat di negara Islam ialah mewujudkan kesatuan umat Islam (ummatan wahidah) dari segi akidah. Hal inilah yang tidak disukai oleh rejim Zionis," katanya.
Sementara itu, Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa berkata, idea mewujudkan Laman Cakna Palestin tercetus pada tahun 2014.
Menurutnya, laman tersebut kini menjadi medan ikonik dan simbolik melalui ekspresi mural pada dinding seluas 6000 kaki persegi dan lantai dengan lukisan bermotif permaidani seluas 5800 kaki persegi hasil kreativiti Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI) bersama Tangan Emas Studio dengan bantuan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada akhir tahun 2015.
"Mural perintis yang bermula dari belakang bangunan Jalan Dato' Pati berkembang ke belakang Mutiara Corner dan lorong belakang Jalan Ismail ini adalah ketandaan solidariti yang berterusan dan tidak berbelah-bagi seluruh watan Kelantan terhadap sahabat seakidah kita di Palestin," katanya.
Beliau berharap para imam turut mengambil bahagian meniup semangat jihad pembebasan Palestin sebagai apresiasi sambutan Minggu Al-Quds Sedunia menerusi khutbah Jumaat esok.
Minggu Al-Quds Sedunia bakal dirasmikan Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Hadi Awang di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu. Manakala perasmian penutup bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad di Putrajaya pada 5 Mac nanti.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=491268522356989&id=100044215370525